Latest Posts

Kem Remaja Nisa' Kawasan Dungun 2010

By 12:40 AM

Dengan nama Allah, tuhan pemilik sekalian alam. Segala puji hanya layak bagiNya tuhan Maha Hidup. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w dan seluruh keluarga keturunan baginda. Sebagai penutup tahun 2010, sedikit coretan buat sahabat-sahabat saya nukilkan. Mudah-mudahan intipati post kali ini memberi peringatan buat diri saya khususnya dan sahabat-sahabat amnya.

Alhamdulillah 24 dan 25 Disember yang lalu, saya telah diberi peluang oleh Allah untuk bersama-sama dengan sahabat-sahabat Nisa' cawangan Dungun menggembleng tenaga menjayakan satu Kem Remaja Nisa' yang bertempat di Homestay Rumah Rose, Sura Hujung.

Program yang berlangsung selama 2 hari 1 malam ini bertujuan untuk membiasakan syariat Islam dalam kehidupan seharian peserta program dan memperkenalkan Nisa' kepada peserta. Peserta yang hadir adalah dalam lingkungan umur 12 ke 21 tahun. Mad'u yang masih dalam lingkungan adik-adik mungkin tidak menjadi masalah buat sahabat-sahabat fasilitator, mentarbiyah mad'u yang lebih berusia dari kami yang agak mencabar. Tapi alhamdulillah dengan izin Allah, kami dapat melalui cabaran kali ini dengan baik.


Selesai sesi pendaftaran peserta, sedikit taklimat dari pengarah program Kak Irah. Kemudian peserta seramai 71 orang ini telah dipecahkan kepada 7 kumpulan. Alhamdulillah saya dapat kumpulan 1 (Syauqah Wardah) yang semua peserta adalah adik-adik. ^___^ Ketika dalam kumpulan peserta diberikan barang amanah yang memang sudah sinonim dalam kem-kem yang bertujuan untuk memupuk rasa tanggungjawab dan sifat amanah dalam diri peserta. Setiap kumpulan diberikan sebiji epal dan dibahagikan mengikut bilangan ahli kumpulan. 
Fasi beri epal kepada peserta sebagai amanah. Peserta jaga sebaik mungkin. Akhir kem, fasi minta. Ibaratnya, Allah bagi jiwa kepada manusia. Jiwa itulah amanah. Tanggungjawab ke atas amanah, jaga hati. Akhirat kelak Allah tanya apa sudah kita buat pada jiwa.

Begitulah juga dengan Islam dan bumi ini. Kita sebagai khalifah ditugaskan untuk memakmurkan bumi dan menyebarkan Islam. Sebelum diberi barang amanah, sesuai dengan tema kem kali ini, 'Disini Ukhwah Tersimpul', fasi bertaaruf dengan peserta. Tanpa taaruf, sesuatu gerak kerja tidak dapat dilakukan dengan baik. Dengan taaruf (berkenalan) lahirlah tafahhum (kesefahaman) maka dengan adanya dua elemen penting ini, takaful (tolong-menolong) dapat dijalankan dengan baik.

taaruf + tafahhum * takaful = wihdatul amal
Selepas minum pagi, pengisian bertajuk 'Muslimah Solehah' telah disampaikan oleh Kak Intan, graduan University al-Azhar dalam bidang Syariah. Untuk menjadi anak yang solehah, ada beberapa perkara yang perlu lebih dititik beratkan.
Pertama, hamba Allah yang taat, kerana hebatnya seorang muslimah bukan dipandang manusia tetapi mulia dan hebat dipandangan penghuni langit; Allah dan para malaikat. Kedua, anak yang solehah. Di zaman Nabi Musa a.s, ada seorang sahabat yang muslim tinggal dengan dua ekor khinzir. Khinzir tersebut adalah kedua ibubapanya. Betapa besarnya tanggungjawab kita sebagai seorang anak, walaupun ibu dan ayah adalah binatang yang telah diharamkan Allah daripada menyentuhnya, tetapi kewajipan sebagai anak masih perlu dijalankan.

Lebih kurang jam 2.30 petang, rohani kami meratah suatu santapan menarik bertajuk 'Akidah & Perjuangan' yang disampaikan oleh Ustazah Zaleha, guru Imtiaz. Diselitkan dengan isu semasa remaja yang semakin meruncing hari ini, perhatian peserta tidak beralih malah waktu sejam itu dirasakan cukup singkat. Ada satu petikan yang menarik dan masih saya ingat.
Kenapa adanya Rumah Harapan? Kerana akidah yang tidak kukuh. Kalau akidah kukuh, pasti ibu bapa beri ilmu agama secukupnya. Kalau akidah kukuh, pasti remaja menjauhi maksiat dan puncanya. Kalau akidah kukuh, pasti kerajaan jalankan hukum yang sepatutnya.
Petangnya peserta diaktifkan dengan riadhah yang cukup menarik dikendalikan oleh Kak Mida. Bersorak gembira adik-adik. Alhamdulillah daripada aktiviti riadhah tersebut, ukhwah antara peserta dapat ditingkatkan dan dapatan utama dalam aktiviti tersebut adalah, mereka perlu pandai menyesuaikan diri apabila berada di dalam lingkungan atau kumpulan lain. Ibarat pepatah, masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang harimau mengaum. Atas kesilapan teknikal saya tak dapat sertakan video, agak terkilan juga =.=

Antara waktu maghrib dan isya', rohani kami diisi dengan peringatan oleh Ustaz Jalaluddin yang bertajuk 'Dakwah dan Remaja'. Lawak-lawak spontan dari Ustaz membuat tumpuan kami sentiasa terpancing. Bak kata ustaz, remaja sebagai ejen dakwah. Persepsi orang kita, dakwah hanya untuk golongan tua, salah sama sekali. Seharusnya kita sebagai remaja yang perlu bergiat aktif dalam berdakwah. Dakwah tidak semestinya sertai tabligh, bermalam di masjid surau, malah berimej Islam seperti pakaian menutup aurat sudah cukup menjadi dakwah yang simple bagi golongan remaja seperti kita.

Selepas solat isya' berjemaah, sedikit hiburan berlandaskan syariat telah diadakan. Setiap kumpulan telah diberikan tugasan, antaranya nasyid, lakonan, pentomen dan dikir barat. Semua tugasan ini perlu bertemakan 'Anak Solehah, Wanita Solehah'. Walaupun kesuntukan masa untuk berlatih, namun kreativiti dan semangat peserta sangat membanggakan. Mereka dapat membuat yang terbaik dalam masa latihan yang cukup singkat. Mungkin inilah habuan daripada taaruf, tafahhum dan takaful yang telah terbina.

Hari 25 Disember kami dimulakan dengan qiamullail yang cukup membina sinergi. Sebelum sarapan pagi, peserta beriadhah terlebih dahulu. Selepas solat dhuha berjemaah, sekali lagi Kak Intan dijemput untuk menyampaikan pengisian bertajuk 'Fiqh Ibadat Wanita & Solat Jama' Qasar'. Sesi soal jawab yang diselitkan membuatkan adik-adik tak putus bertanya keraguan dan kesamaran mereka berkenaan fiqh ibadah wanita terutamanya.

Sebelum makan tengahari dan solat zohor berjemaah, satu perjumpaan mengikut dun telah diadakan. Ia bertujuan untuk mendekatkan peserta dengan 'people in charge' setiap dun. Selain itu juga, ia bertujuan agar, peserta tidak akan ketinggalan untuk program-program anjuran Nisa' dun mahupun cawangan di masa akan datang. Selepas majlis perasmian penutup dan penyampaian hadiah, fasilitator dan semua peserta mula bersalam-salaman.

Saya cukup berharap agar diberi kesempatan oleh Allah di masa akan datang untuk melibatkan diri dalam program-program sebegini. Diharap agar ukhwah yang terbina antara adik-adik tidak terhenti di kem ini sahaja. Diharap juga agar adik-adik dapat menyertai program-program yang akan dianjurkan Nisa' pada masa akan datang. Remaja hari ini pemimpin akan datang.



Jaga diri, jaga hati, jaga iman.


You Might Also Like

0 bicara sahabat