Latest Posts

Tahun Baru, Azam Baru

By 3:06 AM

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, segala puji hanya layak untukNya. Tuhan pentadbir sekalian alam. Alhamdulilllah hingga ke saat ini diri ini masih diberi kesempatan untuk berada dalam dakapan kasih sayangNya atas pelbagai nikmat yang tidak terhingga banyaknya. Seterusnya selawat dan salam untuk junjungan besar yang sentiasa dirindui, Nabi Muhammad s.a.w. Tidak lupa sekalung al-Fatihah buat abah tercinta.

Harap-harap saya tidak terlambat megucapkan SELAMAT TAHUN BARU 2011 buat semua. Alhamdulillah masih diberi peluang untuk kita menjejakkan kaki ke tahun baru dan semester baru bagi sahabat-sahabat yang baru memulakan semester 2. Terasa begitu pantas masa berlalu.


Tahun baru dan azam memang tak dapat dipisahkan. Mengimbau sedikit memori masa lalu, semasa di bangku sekolah rendah, setiap kali tibanya tahun baru, saya dan sepupu pasti menulis biodata dan azam kami pada sekeping kertas. Lalu kami akan tampal di dinding bilik masing-masing. Yang lucunya, apabila tiba bulan Jun, kertas tadi akan hilang, maka hilanglah azam dan cita-cita baru kami.

Di kelas hari ini juga kehangatan tahun baru masih terasa apabila Cik Wan Malini, pensyarah Pengarangan Multimedia meminta kami memperkenalkan diri disertakan dengan azam tahun baru masing-masing. Pelbagai jawapan yang terkeluar dari mulut teman-teman seperjuangan. Saya pun apa kurangnya. Maklumlah, sejak di bangku sekolah menengah, tradisi azam berazam sudah ditinggalkan. Tahun baru tiada apa pada saya, yang ada cuma umur yang makin meningkat. Namun apabila diserbu dengan soalan Cik Wan, saya mula memikirkan ada positifnya jika saya mempunyai azam. Sekurang-kurangnya, kita mempunyai target untuk dicapai.

Azam sama seperti target. Cuma bezanya azam tahun baru, bila tiba 1 Jan dan ia lebih kepada target kita untuk setahun. Pada pandangan saya, setiap hari kita memerlukan azam, supaya azam untuk setahun kita tercapai. Katakanlah azam tahun 2011 saya, meningkatkan kuantiti dan kualiti dalam belajar dan beribadah. Maka seharusnya setiap pagi saya perlu menetap agar saya berusaha ke arah azam tahunan saya. Azam saja cukupkah? Maka perlu disertai dengan usaha. Seterusnya, usaha perlulah istiqamah.

Tahun baru dan hiburan


Sedih rasanya melihat, mendengar dan membaca cerita tentang anak-anak remaja sebaya kita diluar sana berpeleseran di malam tahun baru. Yang gadisnya, buka aurat sana sini, ikhtilat antara lelaki dan perempuan yang tidak terjaga. Tahun baru dirai dengan hiburan, hiburan dan hiburan. Di televisyen sahaja pelbagai konsert yang dijalankan sempana tahun baru. Bagaimana pula dengan konsert-konsert secara kecil-kecilan yang tidak disiarkan di kaca televisyen? Terlalu banyak hiburan. Inikah caranya kita mensyukuri nikmat Ilahi? Inikah syabab yang bakal memimpin negara dan membawa nama Islam pada masa akan datang?

Peliknya masyarakat kita

  • Ibu bapa lebih berbangga jika anak mereka lahir pada 1 Jan. Kenapa tidak berbangga anak-anak lahir 1 Muharram?
  • Ibu bapa cukup berbangga memberi nama kepada anak-anak dengan nama ahli sukan, ahli politik, artis pun ada. Kenapa tidak nama para anbiya', para sahabat?
  • Ibu bapa menangis anak-anak tersingkir rancangan realiti tv. Kenapa tidak bila anak-anak buta al-Quran? 

Sudah jauh melencong daripada tajuk sebenar. Akhir kalam, bagi semua yang sudah punya azam, ayuh usahakan dan istiqamahlah dengan usahamu. Bagi yang masih belum mempunyai azam, maka fikir-fikirkanlah. InsyaAllah azam tahun 2011 saya, berfikiran lebih matang dan meningkatkan usaha dalam belajar dan beribadah. Ya Allah, bantulah hambaMu ini mencapai apa yang telah aku cita-citakan.

jaga diri, jaga hati, jaga iman.


You Might Also Like

3 bicara sahabat

  1. sangat setuju dgn anda, orang ramai lebih ingat tahun baru masihi drpd tahun baru hijrah...

    ReplyDelete
  2. @SDS
    ada seorang sahabat saya bagitau,
    jika merayakan tahun baru bermakna merayakan tuhan orang kafir.
    tetapi sejauh mana kesahihannya saya tak tahu. wallahualam

    ReplyDelete