Latest Posts

Mujahadah Cinta

By 12:02 PM , , , ,


Setelah lelah matanya tertumpu pada nota-nota kuliah, jemari runcing Sakinah mula menari-nari riang di atas papan kekunci komputer ribanya. Kini dia telah melayang di alam maya. Setiap status rakan-rakan Facebook diamatinya. Selayaknya seorang mahasiswi dalam bidang Syariah, dia menggunakan sebaik mungkin laman sosial itu sebagai medium untuk berdakwah. Lubang-lubang kemungkaran yang kadang-kala terbuka, ditutupnya kemas dengan iman dan ilmu di dada.

Sedang dia asyik membaca berita tentang kezaliman yang berlaku di Syria, dia disapa seorang teman laman sosialnya yang juga merupakan teman lama di sekolahnya dulu.

Apek Handsome > hello Nisa' :)
Sakinatun Nisa'  > Assalamualaikum Taufiq
Apek Handsome > waalaikummussalam ustazah..hehe..tengah buat apa tu? ;)
Sakinatun Nisa'  > tak perlulah panggil saya ustazah.baru saja habis study. kenapa letak nama Apek? Taufiq kan sedap bunyinya lagipun ada makna.
Apek Handsome > ala..saja..nama pena la katakan..hehe..apa maksud nama saya, Nisa'?
Sakinatun Nisa' > Taufiqillah maknanya petunjuk Allah. kalau selalu disebut, insyaAllah akan jadi doa. doa supaya awak sentiasa dalam petunjuk Allah.

Perbualan yang tadinya rancak tiba-tiba terhenti. Taufiq menghilangkan diri. Sakinah terkesima seketika. "Aku salah cakap ke?" Sebenarnya sudah lama dia perhatikan perlakuan Taufiq. Hampir setiap hari Taufiq membuka akaun Facebook dan melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah. Sekadar menglike status orang lain dan memberikan komen yang merapu-rapu. Bagi Sakinah itu hanya membuang masa dan dia berasa perlu untuk menegur Taufiq.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Lama Taufiq termenung didepan komputer ribanya. Akhirnya dia mendapat kekuatan untuk menyapa Sakinah.

Muhammad Taufiqillah > Assalamualaikum Nisa'
Sakinatun Nisa'             > Waalaikummussalam. alhamdulillah nama yang indah.
Muhammad Taufiqillah > terima kasih. bantu saya Nisa'. saya mahu berubah.
Sakinatun Nisa'             > alhamdulillah. insyaAllah, saya akan bantu semampu saya.

Baris akhir kata-kata Taufiq disambut Sakinah dengan ucapan syukur. Tangannya lantas mencapai telefon bimbit dan mencari sebaris nama.

"Assalamualaikum ustaz. maaf mengganggu. ana nak minta tolong ustaz bimbing seorang rakan ana. Dia lelaki dan rasanya  lebih elok kalau ustaz yang membimbing dia."

Pesanan ringkas itu dihantar. Beberapa minit kemudian telefon Sakinah berbunyi dan dia yakin itu mungkin balasan pesanan ringkas dari Ustaz Aiman Ammar.

"InsyaAllah ana tak keberatan. tapi kalau boleh, enti tanya pendapat kawan enti dulu."

Sakinah tersenyum membaca pesanan Ustaz Ammar. Dia yakin sekali Taufiq akan bersetuju kerana Taufiq sedang dahagakan ilmu. Orang yang telah disapa hidayah Allah, bakal nekad melakukan apa saja asal dia mampu memiliki dan mengekalkan anugerah itu. Bisik hati kecil Sakinah yang pernah turut merasainya suatu ketika dahulu.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Ustaz Ammar banyak membantu Taufiq menjalani kehidupan barunya. Dia sangat-sangat berterima kasih kepada Sakinah kerana telah memperkenalkan Ustaz Ammar kepadanya. Pada mulanya dia agak bingung, kenapa perlu Ustaz Ammar yang membimbingnya. Alhamdulillah, setelah belajar bab ikhtilat dari Ustaz Ammar, dia faham rasionalnya Sakinah bertindak sedemikian.

Kini telah hampir enam bulan Taufiq hidup dalam ketenangan hidayah Allah. Dia akui pada mulanya sangat sukar untuk dia meninggalkan kehidupan remajanya yang penuh dengan keseronokan dan kelalaian. Menyedari semuanya hanya hidangan di dunia yang bakal menempah neraka, dia bermujahadah meninggalkan segalanya.

Menyedari Ustaz Ammar yang tidak akan selamanya berada disisi, Taufiq membuat keputusan untuk mencari seseorang yang akan sentiasa berada disampingnya. Insan yang akan sentiasa membimbingnya dan akan membina sebuah kehidupan yang bahagia dalam iman bersamanya.

Muhammad Taufiqillah > Assalamualaikum Nisa'
Sakinatun Nisa'             > Waalaikummussalam.
Muhammad Taufiqillah > Nisa', awak tahu kan Ustaz Ammar bakal berpindah ke Johor. Rasanya saya perlukan seseorang yang lebih dekat dengan saya untuk terus membimbing saya menjadi pengganti ustaz.
Sakinatun Nisa'             > Walaupun awak dan ustaz berjauhan, kalian masih boleh berhubung melalui telefon dan internet kan Taufiq.
Muhammad Taufiqillah > Nisa', maksud saya, saya perlukan seorang teman hidup. Dengan kata lain seorang isteri :)
Sakinatun Nisa'             > alhamdulillah, berita baik ni. Siapa muslimah bertuah tu Taufiq?
Muhammad Taufiqillah > Sakinatun Nisa' :)
Sakinatun Nisa'             >Taufiq, awak tanyakan Ustaz Ammar apakah hukumnya meminang tunangan orang. Assalamualaikum.

Dua jasad mula larut dalam jiwa dan rasa masing-masing. Ada yang kecewa. Ada yang curiga. Akhirnya mereka sama-sama larut dalam cinta Tuhan Yang Maha Esa.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Persoalan yang diajukan Taufiq petang tadi benar-benar mengusik jiwa Ammar. Dihujung jawapannya, dia menaruh harap pada Allah, agar dicekalkan hati Taufiq.

"Assalamualaikum Ustaz. ana nak tanya apa hukumnya meminang tunang orang?"

"Waalaikummussalam Taufiq. hukumnya haram. kenapa tiba-tiba tanya soalan begini?"

"Ana melamar Sakinah dan persoalan ini yang dia suruh ana ajukan pada Ustaz. maknanya Sakinah dah bertunang? Ustaz tahu dengan siapa?"

"Memang dia dah bertunang dan siapa tunangnya, biarlah Taufiq tahu sendiri nanti. Yang penting enta perlu redha dengan ketentuan Allah ini. Enta pernah bermujahadah meninggalkan maksiat yang enta dah lakukan dulu. Dan sekarang enta juga perlu bermujahadah tinggalkan Sakinah yang mungkin sudah tak tertulis buat enta."

"Syukran Ustaz. InsyaAllah"

 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Malam-malam Taufiq banyak dihabiskan dengan sujud dan rukuk kepada Allah. Memohon agar diberikan kekuatan tatkala dia kecewa dengan cinta manusia. Sebenarnya semenjak di bangku sekolah lagi dia telah memendam kasih terhadap Sakinah. Setelah dua tahun pencarian, dia bertemu Sakinah di Facebook. Hijrah Sakinah tak langsung mengikis rasa kasihnya malah semakin dia keruan untuk mendekati gadis itu. Percaturan Allah yang mempertemukannya dengan Ustaz Ammar menjadikan peluangnya untuk mendekati Sakinah semakin cerah. Namun siapa sangka, dia hanya merancang tetapi Allah lebih hebat mengaturkan segalanya.

Esok dia ingin hadir dengan redha ke walimah Sakinatun Nisa'. Dia ingin seikhlas mungkin menerima kenyataan siapa muslimin bertuah yang menjadi suami Sakinah.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Kehadiran Taufiq disambut mesra oleh Pak Amin, ayah Sakinah. Dalam kesibukan hadirin, matanya tertangkap kelibat seorang muslimah yang berjubah hijau muda. Senyum tak pernah lekang dari bibirnya. Dia tidak mengenali muslimah itu dan yang pastinya dia bukan Sakinah. Taufiq beristighfar dan sedar tujuan utamanya. Dia mula menyusun langkah mencari Sakinah. Ada debar yang mengiringi langkahnya. 

"Assalamualaikum", suara Taufiq menarik perhatian Sakinatun Nisa' dan lelaki disebelahnya. Lebih tepat lagi, Aiman Ammar. Disaat melihat suami Sakinah, hati Taufiq berasa damai. 

"Waalaikummussalam", jawab Sakinah dan Ammar hampir serentak. Ammar dan Taufiq bersalaman. Ammar merangkul Taufiq. Ada doa dan harapan yang dibisikkan ke telinga Taufiq.

"Abang, akak, makanan sudah sedia. Mari," sapa adik Ammar yang tak disedari kehadirannya oleh mereka.

"Taufiq, kenalkan ini adik ana, Iman Amani. Baru habis pengajian di University al-Azhar. Amani, ini Muhammad Taufiqillah, sahabat baik abang dan kakak", ujar Ammar mengambil peluang memperkenalkan adiknya kepada Taufiq.

"Muslimah tadi,"getus hati Taufiq yang mula menyedari ada kasih sayang Allah yang mengalir saat itu. Iman Amani turut merasakan perasaan yang sama.




You Might Also Like

1 bicara sahabat

  1. Ya Allah...
    aku hilang dalam mencarimu
    makin bertambah kesesatanku
    Ya Allah...
    tunjukilah aku jalan yang lurus
    jalan yang membawa ke syurgaMu
    jalan yang Engkau redhai
    Ya Allah...
    rintihan ini
    dari seorang hamba yang tak punya apa

    ReplyDelete