Latest Posts

Hari Raya yang Selamat?

By 11:47 AM , , , ,


Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Segala pujian hanya layak bagiNya. Tahmid untukNya atas segala nikmat yang diberikan. Tasbih atas segala keindahan ciptaanNya. Takbir atas segala kekuasanNya. Tahlil atasNya Tuhan yang Satu dulu, kini dan selamanya. Selawat dan salam khusus buat kekasih yang dikasihi, Muhammad s.a.w. Tidak lupa sekalung al-Fatihah buat abah tercinta.

Dikesempatan ini, saya ingin mengucapkan selamat hari raya aidilfitri buat semua rakan-rakan blogger. Saya juga ingin memohon maaf andai sepanjang penulisan saya di blog ini ada mengguris hati rakan-rakan, maaf juga andai ada statements saya yang menyindir rakan-rakan. Semoga semua amalan kita sepanjang Ramadhan yang lalu diterima oleh Allah dan seterusnya diberi peluang untuk bertemu lagi dengan Ramadhan yang akan datang.

Setiap kali tiba hari raya kita akan ucap 'selamat hari raya' tapi sedarkah kita sejauh manakah hari raya itu selamat? Samada dari sudut makanan, perjalanan, pakaian, pergaulan dan juga keselamatan. Adakah kita peduli dengan kesihatan kita sepanjang bulan Syawal? Bak kata Tok Abah,"makan untuk raya, bukan raya untuk makan". Apakah kita peduli dengan keadaan kenderaan yang kita gunakan untuk berkunjung ke rumah sanak saudara? Apakah kita peduli dengan pemakaian kita? Menutup atau membuka aurat di hari mulia? Apakah kita peduli dengan pergaulan bersama kaum kerabat dalam perasaan teruja berhari raya? Apakah kita juga peduli tentang keselamatan kita dan harta benda pada musim perayaan sebegini?


Sebenarnya terlintas untuk menaip tentang 'selamat' ni ekoran daripada peristiwa yang telah berlaku di rumah saya pada hari raya ketiga ini. Alkisahnya bermula, selepas berehat solat zohor, ada adik-adik datang beraya. Pada mulanya saya minta mereka duduk di sofa sambil minum sebab faham mereka letih berpanas datang beraya. Tetapi ketika saya keluar menghidangkan air, mereka beralih duduk di depan tv. Sekadar melayan mereka kebetulan ketika itu filem 4 Madu sedang bersiaran. Baru beberapa patah saya berborak dengan seorang adik perempuan yang datang, kawannya yang lelaki (saya anggarkan dia yang paling tua berumur sekitar 11 tahun) mengajak dia dan dua lagi kawannya pulang. Sinonimnya kanak-kanak datang beraya, selepas dihulur sampul duit raya, mereka terus berlalu.



Tiba-tiba abang sepupu saya keluar dari bilik dan gayanya seolah-olah mencari sesuatu di almari tv. Telefon miliknya telah hilang! Merata-rata tempat di dalam rumah kami sekeluarga mencarinya. Umi saya mula mengesyaki salah seorang kanak-kanak yang datang sebentar tadi. Saya cuba menghubungi nombor sepupu saya beberapa kali. Sehinggalah umi memberi idea menghantar mesej kepada nombor tersebut. Selang beberapa minit, mesej dibalas. Ternyata sangkaan kami tepat. Bermulalah episod balas-membalas mesej antara saya dan si adik. Saya berusaha sedaya mungkin bermain dengan psikologinya. Hampir enam kali berbalas mesej, akhirnya telefon mula sepi. 

Setiap perkara yang Allah jadikan pasti ada ibrahnya. Peristiwa kali ini Allah perlihatkan pada saya untuk melihat betapa ikhlasnya seorang hamba terhadap Tuhannya. Abang sepupu saya dengan wajah selamba, redha dengan seikhlas hati kehilangan telefonnya. Semuanya harta dunia dan pinjaman dari Allah semata. Seriously, i'm impressed with him and Him too. (^_________^)



Sebenarnya kisah pencuri di hari raya tu belum habis :) Selepas asar, sepupu saya bersiap-siap untuk ke pantai dengan anak saudara. Tiba-tiba dari luar rumah dia memanggil saya. Berlari-lari anak bersama anak saudara juga saya mendapatkannya. Terkejut apabila dia menunjukkan telefonnya. Almighty Allah :) Rupa-rupanya adik tu telah memulangkan kembali telefon sepupu saya, diletakkan di depan pintu pagar. Maha Kuasa Allah, sejahat mana pun seorang manusia pasti akan ada secalit rasa kebaikan dalam hatinya. Pada awalnya kami hampir berputus asa untuk mendapatkannya kembali, tetapi benarlah setiap hati itu dipegang oleh Allah dan Dialah yang telah membuatkan hati adik tersebut lembut dan ingin memulangkan kembali.

Salah satu juga antara asbab pemulangan adalah keikhlasan hati abang sepupu saya. Bak kata Ustazah Siti Nor Bahyah,"ikhlas pasti dibalas". Dia ikhlas menerima ujian yang Allah beri lalu, Allah balas dengan memulangkan kembali telefonnya. Moga adik itu yang juga ikhlas mengaku dan memulangkan telefon tersebut juga dibalas dengan ketetapan hati oleh Allah untuk tidak mengulangi perlakuannya hari ini.


Teruja dengan ibrah dari Allah di bulan Syawal. Moga dengan izin Allah, kita terus menjadi orang yang berakal dan memerhati. Sekadar ini dahulu coretan saya di pagi Syawal, moga terus bermanfaat dan beroleh manfaat. Wallahua'lam.

Jaga diri, jaga hati, jaga iman.


You Might Also Like

1 bicara sahabat

  1. mungkin adik tu nak curi hati i, tp xsmpai, so die curi je lah telefon tu..huhu

    ReplyDelete