Latest Posts

Ceraikan dia!

By 9:19 PM , , ,

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Segala pujian hanya layak bagiNya. Tahmid untukNya atas segala nikmat yang diberikan. Tasbih atas segala keindahan ciptaanNya. Takbir atas segala kekuasanNya. Tahlil atasNya Tuhan yang Satu dulu, kini dan selamanya. Selawat dan salam khusus buat kekasih yang dikasihi, Muhammad s.a.w. Tidak lupa sekalung al-Fatihah buat abah tercinta.

Salam Jumaat Kareem pembaca semua kesayangan Allah bakal penghuni syurga, aamiin3 biiznillah ^_^


Entri kali ini insyaAllah biiznillah saya ingin berkongsi sebuah kisah pada zaman Rasulullah s.a.w yang boleh dijadikan teladan bersama. Khususnya buat inchi-inchi zauj dan cik puan-cik puan zaujah kesayangan semua. Jom sama-sama membaca ^_^

......

'Atikah binti Zaid.

Haa kenal tak siapakah gerangan pemilik nama di atas? 'Atikah atau nama sebenarnya 'Atikah binti Zaid ibn 'Amru ibn Nufail al Qurasyiah al 'Adawiyah. Beliau merupakan puteri kepada sahabat Rasulullah s.a.w Zaid ibn 'Amru. 'Atikah ini subhanallah sangat cantik rupa paras dan akhlak sehingga sering menjadi bualan para pemuda di Mekah. Selepas kerasulan Rasulullah s.a.w, 'Atikah telah dididik dengan agama Islam yang sempurna.

Ramai pemuda Mekah yang menyimpan hasrat untuk memperisterikan mukminah solehah ini. Salah seorang daripada mereka adalah putera kepada sahabat Rasulullah s.a.w, Saidina Abu Bakar As-Siddiq r.a iaitu Abdullah ibn Abu Bakar. Abdullah juga merupakan seorang pemuda yang tak kurang tampan wajah, agama dan akhlaknya. Abdullah kemudian menyatakan hasratnya untuk menyunting 'Atikah kepada bapanya. Lalu bernikahlah mereka ^^

Dek kerana cantik dan jelitanya 'Atikah ini ditambah dengan rasa cinta yang terlalu mendalam, Abdullah tidak pernah berenggang dengan 'Atikah. Setiap masa mereka bersama. Bak kata orang sekarang, bagai belangkas. Abdullah seakan-akan terlalai kerana isterinya.

Sehinggalah satu hari, bapa kepada Abdullah, Saidina Abu Bakar r.a dalam perjalanan ke masjid untuk solat berjemaah. Beliau melalui rumah 'Atikah. Ketika itu beliau terdengar suara Abdullah dan 'Atikah sedang bergurau senda. Saidina Abu Bakar meneruskan perjalanannya ke masjid. Dalam perjalanan pulang, beliau telah berhenti di rumah 'Atikah dan berpesan kepada Abdullah untuk ke rumahnya segera.

Ketika di rumah Saidina Abu Bakar r.a, Abdullah bertanya kepada bapanya tentang tujuan bapanya meminta dia ke situ. "Abdullah, aku mahu kamu ceraikan isterimu!" Kata Saidina Abu Bakar r.a. Abdullah terkejut mendengar arahan bapanya. "Isterimu telah menyebabkan kamu terlalai," kata Saidina Abu Bakar r.a. Kerana taat dan yakin akan hikmah disebalik arahan itu, Abdullah taat. Dia pulang ke rumah 'Atikah dan menceraikan isteri kecintaannya itu dengan talak satu.

Setelah berpisah dengan 'Atikah, Abdullah pulang dan tinggal bersama bapanya. Hari berganti hari, minggu berganti minggu, bulan berganti bulan, Abdullah semakin parah dilanda kerinduan terhadap isteri tercinta. Begitu juga dengan 'Atikah. Yelah kan, orang sedang hangat bercinta, tiba-tiba terpaksa berpisah. Hanya Allah yang tahu betapa sakit rasa yang mereka tanggung. Suatu hari Saidina Abu Bakar r.a. terdengar Abdullah bersyair dalam nada sedih.


Hai Atikah, aku tidak kan melupakanmu selama angin bertiup
Dan selama burung merpati masih bersuara
Hai ‘Atikah, saya tidak akan melupakanmu selama orang masih berhaji
Dan selama bintang2 yang bergantungan di langit bersinar
Hai ‘Atikah, hatiku tiap hari dan malam
Tergantung kepadamu apa-apa yang tersembunyi dalam jiwa
Kalau bukan kerana taqwa kepada Allah yang berhubungan dengan ayahku
Dan ketaatan kepadanya maka kita tidak akan berpisah

Mereka masing-masing sudah menyesal dengan kelalaian dan kesilapan mereka yang lalu. Kerana sedar betapa cintanya Abdullah kepada 'Atikah, Saidina Abu Bakar r.a kemudiannya mengizinkan mereka untuk rujuk kembali.

The end.

....... 

زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ الشَّهَوَاتِ مِنَ النِّسَاءِ وَالْبَنِينَ

“Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, yaitu: wanita-wanita dan anak-anak.” (Ali ‘Imran: 14)

Isteri sudah sinonim sebagai lambang perhiasan di dalam rumah tangga. Penyejuk mata, penenang hati sang suami.

Tetapi kita tidak mahu perhiasan ini menjadi asbab kelalaian sang suami. Menjadi pembantut kecemerlangan dan kejayaan suami.

Tetapi jadilah perhiasan yang membanggakan suami dengan menjadi penasihat saat diminta, mengingatkan di saat suami terlupa.

Jadilah isteri yang disaat suami terpandang wajahmu, dia berasa tenang. Disaat suami mendengar kalammu, dia berasa terang.

Sebagai isteri kita penting buat suami, namun Allah lebih utama padanya ^^

Dahulukan hak suami dengan Allah, hak suami dengan agama, hak suami dengan ibu ayah dan keluarganya, kemudian barulah hak kita dengannya sebagai isteri.

Lebihkan memahami daripada difahami.

Hidup bersama indah pada memberi bukan sekadar menerima.

Semoga Allah berkenan menjadikan setiap dari kita sebagai isteri/suami yang sentiasa menjadi asbab untuk pasangan kita terasa dekat dengan Allah.



Jaga mata, jaga hati, jaga iman.

Wallahu a'lam.

Isteri,
Engkau sayap kiri perjuangan.
Lebarkanlah sayapmu untuk terus menaikkan pesawat dakwahmu.


You Might Also Like

0 bicara sahabat