Latest Posts

Surat Untuk Abah

By 10:04 AM

Hari ini 1 Safar, genap sebulan abah pulang ke rahmatullah. Semoga abah terus tenang disana dalam dakapan rahmatNya. Setelah sebulan perpisahan ini, baru hari ini adik diberi kekuatan oleh Ilahi untuk mencoretkan sesuatu khas untuk abah.

Rindu sentiasa menyapa. Memang adik selalu berjauhan dengan abah dek kerana tuntutan menuntut ilmu namun tak pernah adik rasakan perpisahan yang sejauh ini, abah. Bagaikan baru semalam jari-jemari tua abah adik genggam dan kucup tapi hari ini, bayangan abah pun adik sudah tak mampu tatapi. Cuma gambar-gambar yang menjadi pengganti.

Setiap masa bila keseorangan pasti saat kehilangan abah menjelma. Dalam sihat walafiat, Izrail datang menjemput abah. Tapi abah sudah seakan mengetahui telah tiba saatnya abah pulang. Malam 30 zulhijjah jam 1 pagi, sebelum pulang ke sana, abah sudah menjamah masakan ummi buat kali terakhir, abah sudah bersihkan diri, abah sudah bertahajud dan qiamullail. Selepas abah tak sedarkan diri, kak long, abang long, abang dan ummi bawa abah ke hospital. Setengah jam lepas tu, abang long jemput adik dan anak-anak saudara ke hospital. Abang long diam saja sepanjang perjalanan. Sampai di hospital, adik nampak van jenazah, tapi adik monolog sendiri, tu van orang lain. InsyaAllah abah tak apa-apa. Masuk ke ruangan kecemasan, adik tengok ummi terbaring atas katil, ummi beritahu adik.

"Adik, aboh tak dok doh"
Saat tu abah, hanya Allah yang tahu, adik rasa bagai satu tamparan yang cukup kuat. Saat adik cium dahi abah, air jernih mula mengalir.

Sepanjang 20 tahun adik hidup, inilah kali pertama adik menghadapi kematian orang tersayang. Ya Allah perit sekali rasanya. Pagi 1 Muharram, adik solat subuh, adik berdoa dan adik berjanji dengan diri sendiri, adik takkan menangis kerana adik telah redha dengan pemergian abah. Tapi setiap kali adik terkenangkan betapa eloknya cara kepulangan abah, adik jadi sedih. Mampukah adik berakhir dengan pengakhiran yang baik seperti abah? Kerana iman itu tak dapat diwarisi, abah.

Cuti minggu ulangkaji yang lepas, sebelum pulang ke asrama abah ada pesan sesuatu. Abah pesan tentang solat hajat yang paling afdal yang selalu abah buat sepanjang peperiksaan adik.
"Adik solat hajat ni lepas pukul 12 malam. Solat 4 rakaat. Rakaat 1 baca surah al-ikhlas 11 kali. Rakaat 2 baca surah sama 22 kali. Rakaat 3, 33 kali dan rakaat 4, 41 kali."
Pelik juga kenapa abah beritahu adik. Rupa-rupanya abah dah tahu yang selepas ini adik perlu buat sendiri. Memang dah menjadi satu adat, sepanjang PMR, SPM dan peperiksaan adik yang lain, abah sanggup tinggalkan kebun abah untuk beruzlah di dalam bilik mendoakan adik. Mungkin ini juga salah satu rahsia kejayaan adik. Tapi kini, kekuatan itu telah hilang. Namun semangat abah sentiasa mengalir dalam diri adik. Benarlah, doa yang buruk dari ibu cepat makbul, manakala doa yang baik dari seorang ayah yang cepat makbul. Abah, result final semester 1 adik hari tu abah tak sempat tengok. Alhamdulillah, adik cukup berpuas hati dengan apa yang adik perolehi. Terima kasih abah kerana sanggup bersusah payah doakan adik. InsyaAllah untuk yang akan datang adik akan buat yang lebih baik.

Sepanjang hayat abah, abah seorang yang pendiam. Namun adik yakin, pendiam abah hanya dengan manusia. Tetapi tidak dengan Allah. Kerana abah terlalu banyak berdoa. Abah selalu bersama Allah di tikar sejadah di saat anak-anak menonton televisyen. Lepak di kedai kopi seperti hobi kebanyakkan lelaki bukanlah kegemaran abah. Masa abah banyak terbuang di kebun kerana inilah minat abah. Malamnya abah akan beribadah di bilik.

30 zulhijjah 1431 hijriah ummat Islam yang lain berhijrah ke 1 Muharram 1432 hijriah. Abah juga berhijrah. Tetapi hijrah abah dari alam dunia ke alam barzakh. Malam pertama abah pada malam 1 Muharram. Moga ada keberkatan padanya. Awal Muharram kali ini hijrah terbesar yang berlaku dalam keluarga kita. Ummi berhijrah sebagai ibu tunggal, adik berhijrah sebagai anak yatim. Kini adik merasa betapa sedihnya Fatimah kehilangan Rasulullah s.a.w.

Abah, walaupun abah tak tinggalkan adik duit setinggi gunung namun abah sudah tinggalkan adik peringatan yang cukup bermakna. Adik akui dalam adik meniti hidup ini terkadang adik terlupa akan ajal yang menjemput. Jika adik teringat akan ajal, terkadang adik lupa yang ajal mampu datang bila-bila, dimana-mana sahaja dan atas alasan apa sekali pun. Perginya abah mengingatkan adik tentang ajal yang akan bertamu tanpa dijemput. Terima kasih Ya Allah kerana Engkau telah memberi peringatan yang cukup bermakna bagiku.

Hari ini, ketika adik bersama sahabat-sahabat adik mencuba semampu adik menyembunyikan kesedihan. Bila bersama sahabat-sahabat di kelas, adik hipokrit sebenarnya, abah. Adik hanya berlakon adik tenang dan gembira. Hakikatnya, bila adik berseorangan dan dilanda masalah, air mata akan merembes keluar. Entah kenapa sekarang adik makin sensitif. Sahabat-sahabat cukup prihatin. Selepas mendapat berita pemergian abah, mereka memberi sokongan moral. Sudah prinsip adik, tidak suka menagih simpati. Disaat ini, prinsip itu makin kuat adik pegang. Bukan simpati yang adik mahukan, tetapi empati. Alhamdulillah itulah yang sahabat-sahabat berikan.

Kini, adik masih lagi bertatih menyesuaikan diri dan meneruskan hidup tanpa insan bernama abah. Setiap kali berdoa pasti adik memohon agar ummi diberi kekuatan untuk meneruskan kehidupan tanpa abah. Begitu juga dengan adik. Setiap kali adik merasa lemah menerima kenyataan ini, ayat Allah sentiasa menjadi pegangan adik.
Setiap yang bernyawa pasti akan mati.
Abah tenanglah di sana. Abah tak perlu khuatirkan lagi tentang dunia yang fana ini. InsyaAllah  adik akan berusaha untuk terus kuat disini. Walaupun kita sudah terputus untuk berhubung namun ada yang takkan pernah putus dari adik untuk abah. Doa anak yang soleh. Sekarang adik sedang berusaha mensolehahkan lagi diri agar doa-doa adik dapat membantu abah di sana. Abah ibarat orang pencen. Walaupun gaji dah terhenti namun duit pencen sentiasa ada. ^______^. InsyaAllah ada rezeki dan diizinkan Allah, kita akan bertemu di syurga kelak bersama Nabi Muhammad s.a.w. yang sentiasa kita rindui.  Selamanya adik berbangga menjadi anak abah, menyayangi abah dan merindui abah.

Haji Abd Manan @ Awang bin Ahmad @ Mohd
1365H-1431H bersamaan 1944-2010


Dedikasi khas buat abah
(lagu asal : Mawi)


Ayah aku rasa sunyi
sejak kehilanganmu di dunia ini
di saatku meniti
kejayaan ini

Ayah aku menyanjungi
jasamu yang terlalu agung buatku
tak dayaku membalas
jasa dan budimu

Tanpa kamu
hilanglah haluan hidupku
terasa siksanya di jiwa ini
Tak dapatku membalas jasamu
di dunia ini

Tanpa kamu
hilanglah haluan hidupku
terasa siksanya di jiwa ini
namun aku tetap redha
apa yang mendatang



Anakmu yang sentiasa merinduimu,

You Might Also Like

18 bicara sahabat

  1. salam takziah...
    sabar ye saidah~
    i'm here 4 u...

    ReplyDelete
  2. @~ika~
    tens yunk..
    sekali berukhwah selamanya dihati
    ^__^

    ReplyDelete
  3. takziah saidah..jgn sedih2 ya. kita senasib..yang pergi tetap akan pergi..kita yg hidup ni teruskan amal krna sua2 ari nanti kita juga akan pergi.

    ReplyDelete
  4. kata-kata mu menintiskan air mata ku...

    ReplyDelete
  5. @Hashira Yusoff
    tu la yang selalu kita pegang sekarang,
    kadang2 bersama uolls, kita cam di alam lain,
    kita cam tak perlukan dunia,
    terkadang kita terlalu hepi sebab nak lupakan kesedihan yang cukup mendalam,
    pape pun uolls selalu ada untuk kita,
    tens yunk

    ReplyDelete
  6. @bintang27
    syukran kerana empati,
    berat mata memandang, berat lagi mahu memikul,
    sepanjang nak siapkan entry ni, air mata selalu keluar,
    terlalu merindui abah

    ReplyDelete
  7. salam ukhwah..ana juga sedang mengalami perasaan yg same seperti nti,tapi demi mak,ana kuatkan jge..agar mak pon xterasa dgn keperitan itu..kuatkan hati,tegarkan diri..insyaALLAH,kite same2 usaha menjadi anak yg solehah...

    ReplyDelete
  8. Takziah Saidah Manan. doa sy mengiringi kamu. semoga terus tabah. sy tau kamu tabah. InsyaAllah

    ReplyDelete
  9. @~aljannatulmakwa~
    na'am ukhti,
    kekuatan ummi yang membuatkan ana mampu senyum dalam tangisan kini.
    syukran ukhti..
    insyaAllah kita terus berusaha dan berusaha jadi anak solehah
    ^_____^

    ReplyDelete
  10. @anep
    tens anep...
    amin, mudah-mudahan diberi hati ini kekuatan oleh Allah

    ReplyDelete
  11. salam,
    Takziah!
    akak tahu bagaimana rasanya kehilangan org tersayang...ayah masih ada ...tapi ibu telah pulang menyahut panggilan Ilahi dua tahun yg lalu...alFatihah

    ReplyDelete
  12. doa anak yang soleh/solehah membantu orang yang kita sayang..insyaAllah..

    ReplyDelete
  13. salam takziah..

    sedih lah baca...

    so, skrg, kte akan lebih menghargai parents kte sementara mereka masih ada...

    apa2 pun, saidah mmg kuat... fara atira pun kuat kan..perasan tak?

    ReplyDelete
  14. @Kak Ida
    syukran kak,
    kalu akak boleh kuat xkan saidah xleh kan? ^______^
    syukran skli lg kak

    ReplyDelete
  15. @asliner
    insyaAllah kak..
    dalam proses mensolehahkan diri :)

    ReplyDelete
  16. @ira-yoshida
    hargailah mereka yunk..
    maut leh datang bile-bile je..
    tak berjemput..
    baru kite ingat fara..
    yup, die cukup kuat
    respect die :)

    ReplyDelete
  17. mengalir air mata ana..
    ya Allah..tabahkanlah sahabatku ini..
    aku tau dia kuat dalam menghadapi semua dugaan ini..
    semoga roh abahnya tenang di sana..ameen ya rabbal alamin..

    ReplyDelete
  18. al-fatihah..
    "betapa sedihnya Fatimah kehilangan Rasulullah s.a.w."

    ReplyDelete