Latest Posts

Setia Hingga Hujung Nyawa

By 11:08 AM , , , , , , ,

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Segala pujian hanya layak bagiNya. Tahmid untukNya atas segala nikmat yang diberikan. Tasbih atas segala keindahan ciptaanNya. Takbir atas segala kekuasanNya. Tahlil atasNya Tuhan yang Satu dulu, kini dan selamanya. Selawat dan salam khusus buat kekasih yang dikasihi, Muhammad s.a.w. Tidak lupa sekalung al-Fatihah buat abah tercinta.


Subhanallah, lama sangat rasanya jari jemari ini tak menari di lapangan kekunci. Alhamdulillah akhirnya Allah bagi juga peluang untuk mencoretkan perkongsian walaupun pendek dan seketika. Teruja dengan tajuk entry saya? Tidak layak diri  ini untuk mengkritik drama Setia Hingga Hujung Nyawa (SHHN) yang hampir menjadi fenomena kegilaan adik-adik remaja, kakak-kakak dan mungkin juga ibu-ibu di luar sana. Sekadar ingin mengulas beberapa pandangan dari sudut kaca mata saya sendiri.

Cinta Pertama vs Cinta Halal


Cinta pertama suatu yang 'sweet'. Pasti akan ada yang tersenyum sendiri gara-gara teringatkan cinta pertama. Kebanyakan orang mengatakan cinta pertama cinta yang sukar dilupakan. Itulah yang dialami oleh El. Melupakan cinta pertamanya dengan Ikram bukanlah sesuatu yang mudah. Ditambah pula dengan sifat romantis Ikram yang setia dengan 'sticky note'nya yang comel.

Tetapi lebih 'sweet' lagi cinta yang halal. Setuju atau tak dengan pandangan saya, itu terpulang. Jika bercinta dalam keadaan yang halal, apa saja yang dilakukan setiap pasangan pasti mendapat pahala. Setiap yang dilakukan untuk pasangan boleh dilakukan tanpa sebarang keraguan kerana telah dijamin halal.

Tetapi terlebih-lebih lagi 'sweet' jika cinta pertama kita adalah cinta yang halal ^^ Pertama kali bercinta, suatu pengalaman dan perasaaan yang baru boleh dipupuk dalam suasana dan cara yang halal. Mungkin ini tiada dalam jalan cerita SHHN. Dan saya yakin kebanyakan manusia normal pasti mengharapkan cinta sebegini.

Monogami itu Sunnah

Dapat dipuji kesetiaan Zain terhadap El, walaupun pelbagai halangan antara mereka, kerana cinta dan janji, dia tetap setia. Apa yang dilakukan Zain (tidak menduakan El melalui poligami) insyaAllah antara sunnah Rasulullah s.a.w. Bagaimana saya boleh terlalu yakin berkata begitu? Mari kita teliti kembali sirah rumah tangga Rasulullah s.a.w bersama Saidatina Khadijah r.ha.

Sepanjang hayat kehidupan Saidatina Khadijah r.ha, Rasulullah s.a.w tidak menduakan beliau. Ini mengambarkan kecintaan Rasulullah terhadap cinta pertama Baginda. Antara sebab kenapa Rasulullah tidak berpoligami semasa hayat Khadijah adalah kerana beliau mampu memberikan zuriat terhadap Rasulullah. Rasulullah juga tidak mahu menimbulkan rasa cemburu dalam hati kekasih yang telalu dicintai baginda. Lumrah wanita bila berkongsi pasti akan hadir rasa cemburu walau secubit apakan lagi berkongsi suami. Malah betapa setianya Rasulullah s.a.w, Baginda tidak pernah terfikir untuk mencari pengganti Saidatina Khadijah selepas pemergiannya, sehinggalah baginda mendapat perintah daripada Allah agar menikahi Saidatina Aisyah r.ha.

Pelbagai lagi hujah menarik berkenaan sunnah Rasulullah dalam berpoligami dan monogami boleh dibaca dalam novel nukilan Ustazah Fatimah Syarha; 'Sebarkan Cinta-Mu'.




Membudayakan Islam atau Mengislamkan Budaya

Jangan keliru dengan dua frasa yang kelihatan sama tetapi mungkin memberikan siratan yang berbeza. Mempraktikkan Islam dalam kehidupan seharian hingga ia menjadi satu budaya hidup berbeza dengan melaksanakan satu budaya sedia ada melalui Islam. Bayangkan pencuri mengislamkan maksiatnya dengan cara memulakan dengan basmalah : caranya betul (mulakan pekerjaan dengan basmalah) tetapi matlamatnya tetap salah (mencuri).
 
Tahniah buat pihak media kerana berjaya meledakkan satu fenomena baru dalam dunia remaja. Tahniah kerana berjaya melekakan mata-mata remaja harapan ummah di hadapan televisyen ketika waktu azan maghrib berkumandang. Sedih membayangkan mungkin ada segelintir yang sanggup melewat-lewatkan panggilan Ilahi. Lebih sedih lagi bila ada yang mungkin sanggup langsung meninggalkan solat maghrib gara-gara tidak mahu ketinggalan setiap babak antara El dan Zain. Alhamdulillah buat yang mampu menahan nafsu menonton drama, masih kuat menunaikan solat maghrib di awal waktu dan alhamdulillah juga buat yang mengambil inisiatif melayari tonton.com atau youtube untuk menonton SHHN tanpa menganggu waktu solat kalian.


Saya tidak seratus peratus mempercayai mesej yang saya temui di FB ini kerana pada zaman sekarang setiap berita atau perkhabaran kita perlu teliti dengan sebaiknya. Sekarang zaman yang dilengkapi dengan pelbagai kecanggihan. Mungkin sahaja mesej diatas direka-reka sekadar untuk meniupkan bara dalam hati muslim. Tetapi tidak mustahil jika ia ada terlintas dalam hati adik-adik remaja kerana ketandusan iman. Andai mesej ini benar, semoga Allah memberi hidayah kepada hambaNya tersebut, andai ia hanya rekaan semata-mata, semoga Allah melindungi kita semua dari fitnah dunia yang makin menjadi-jadi.

Sampai disini sahaja coretan untuk kali ini. Mohon maaf andai ada tulisan yang kurang disenangi. Saya mohon andai ada sebarang kekhilafan fakta, tegurlah diri yang dhoif ini. Akhir kalam, teruskan berselawat ke atas junjungan besar Rasulullah s.a.w tidak hanya pada hari peringatan kelahiran baginda. Setialah merindui Baginda hingga ke hujung nyawa kita, insyaAllah. Allamumma solli ala sayyidina muhammad.


Wallahua'lam. Jaga diri, jaga hati, jaga iman





You Might Also Like

2 bicara sahabat

  1. salam saidah.
    nasib baik akak tak mengikuti cerita ini.
    terselamat jugak lah. tetapi pernah tertengok sebab kebetulan kat kedai makan bukak cerita nie. tengok sekali pun dah rasa macam eh,cerita nie x sesuai untuk ditayangkan. huhu

    ReplyDelete
    Replies
    1. macam-macam kan kak sekarang barat nak pengaruhi anak muda.
      Film,
      Food,
      Fashion,
      Fun

      Delete