Latest Posts

Berbicara kembali ::

By 11:39 AM

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Segala pujian hanya layak bagiNya. Tahmid untukNya atas segala nikmat yang diberikan. Tasbih atas segala keindahan ciptaanNya. Takbir atas segala kekuasanNya. Tahlil atasNya Tuhan yang Satu dulu, kini dan selamanya. Selawat dan salam khusus buat kekasih yang dikasihi, Muhammad s.a.w. Tidak lupa sekalung al-Fatihah buat abah tercinta.

SubhanaAllah walhamdulillah walailahaillah wallahuakbar. Terlalu lama rasanya jemari ini tak menari mencoret sesuatu di blog kesayangan ini. Terlalu banyak halangan dan rintangan yang Allah hamparkan mungkin dek kerana kekhilafan diri ini sendiri. Namun alhamdulillah di saat ini, masih ada sekelumit rasa kasih dan sayangNya mengizinkan saya mencoret sesuatu.

Selepas empat bulan sunyi menyepi terkadang timbul rasa ingin mundur dari dunia blogging ini. Namun bila difikir kembali, ini adalah sumbangan saya untuk ummah. Walaupun bentuknya kecil namun ia tetap bermakna kerana menjadi peringatan untuk diri ini khususnya dan diri rakan-rakan sekalian amnya.

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Melainkan orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran."

Masih mahukah kita menjadi yang rugi?

Berbicara mengenai sumbangan buat ummah atau masyarakat, pawagam memori saya kembali memainkan adegan pertemuan saya dengan dekan fakulti yang cukup saya segani, Prof. Madya Dr. Mohd Nordin Abd Rahman. Antara bicaranya yang sering berputar ligat dalam kotak ingatan saya;
"Sebagai mahasiswa sekarang, awak perlu berfikiran terbuka. Jangan mahu grad dengan kepujian dan makan gaji yang beribu-ribu. Tetapi fikirkan tentang sumbangan awak untuk masyarakat bila awak dah berada dalam kelompok tu nanti. Dulu, selepas grad saye pernah ditawarkan kerja di sebuah company dengan gaji RM2000++ tapi saya tolak sebab nak jadi pensyarah di KUSZA (waktu itu). Awak bayangkan dengan gaji yang hanya RM1459, jawatan yang tak tetap dan kemunduran di sini saya sanggup tolak gaji yang lebih lumayan hanya kerana saya mahu menyumbang untuk negeri saya (terenggganu). alhamdulillah hari ni, kalau jumpa dengan students, mereka yang belanja saya "
Bicara Prof. berbaur bangga. Dia layak. Kerana dengan pengorbanannya suatu masa dulu. Kini dia mampu mengecap kemajuan yang telah dia bawa dalam masyarakatnya.

Itu cerita Prof. Cerita saya macamana? Cerita anda pula?

Dalam misi dan target masa depan kita, sekurang-kurangya selitkanlah sedikit sumbangan untuk masyarakat dan agama. Jika mampu dengan wang ringgit, ayuh hulurkan. Paling kurang mungkin dengan idea. Jika anda mahasiswa, gunakan minda anda yang terbuka dan bijaksana. Jika anda penjawat di mana-mana syarikat, gunakan pengalaman anda dalam kerjaya. Setiap dari kita adalah pemangkin ummah.

Terlalu banyak yang ingin saya kongsikan namun rasanya cukup setakat ini dahulu. InsyaAllah dengan izinNya moga-moga dipermudahkan untyk pertemuan di lain waktu.Wassalam. Jaga diri, jaga hati, jaga iman.



You Might Also Like

0 bicara sahabat