Latest Posts

Aku Cinta Dia kerana Agama yang Ada Padanya

By 12:16 AM

Seusai solat Zohor, seperti biasa Balqis Aqilah akan meluangkan masa menghirup udara segar di beranda belakang rumahnya. Dalam kesunyian terimbau kembali detik dia dikhitbah seorang muslimin yang cukup diseganinya, Ustaz Amirul Hayyan.

********

"InsyaAllah, dalam masa terdekat pihak kami akan memberi kata putus. Kita bagi peluang tuan empunya badan fikir masak-masak dulu," ujar Mak Sarimah, ibu Balqis mesra kepada pihak keluarga Ustaz Amirul. Selepas memberi sebentuk cincin sebagai tanda merisik, pihak keluarga Ustaz Amirul mula bertolak pulang ke Kota Bahru, Kelantan.

Rumah yang tadinya riuh kini kembali sunyi, sesunyi hati Balqis Aqilah. "Balqis, Along nak kamu jawab soalan Along jujur. Kamu nak terima ke pinangan ni?" Bicara Baiduri Asiah memecah kesunyian. "Kenapa Along tanya macam tu? InsyaAllah Balqis yakin, ini yang terbaik", ujar Balqis dalam tenang sedang hatinya rancak beristighfar memohon ampunan Ilahi. "Bukan ke si Amirul tu pemegang diploma je? Dahlah bidang Pengajian Islam. Gelap masa depan kau kalau macam ni. Lagi satu, Along hairan kenapa mahar kau letak murah sangat? Kau tu ada ijazah Balqis, setakat dua, tiga ribu tak berbaloi." Tersentak Balqis mendengar luahan kakak sulongnya yang sedari tadi hanya memerhati dari jauh. "Along, bukankah dalam Islam, wanita yang maharnya paling murah yang paling berkat? Lagipun, apa ada pada taraf pendidikan kak?" "Along bukan apa, Along malu dengan orang kampung, dengan sedara mara kita, Balqis. Kalau kamu nekad nak terima pinangan ni, jangan harap Along akan keluarkan duit Along untuk belanja kenduri kamu nanti. Akan datang, masalah dalam rumah tangga, jangan kau datang cari Along."Tegas sekali kenyataan Baiduri. Ibu mereka yang baru muncul dari dapur mula bersuara,"kamu tak nak tanggung belanja kahwin Balqis tak apa, duit pencen arwah abah ada. Rumahtangga dia, pandailah dia uruskan." Bersyukur Balqis ibu dipihaknya. Namun ada hati lain yang memberontak lalu membawa diri.

Berada di tikar sejadah, sesekali air mata diseka. Tak mengerti Balqis kenapa begitu pandangan Along. Jauh disudut hati, dia mengerti Along cuba memberi yang terbaik buat dirinya kerana bimbang, nasib yang menimpa diri terpalit kepada adik kesayangannya. Kegagalan Baiduri Asiah dalam rumahtangga setahun yang lalu, membuat dia sentiasa berhati-hati memilih pasangan hidup samada untuk dirinya mahupun Balqis Aqilah.

Balqis ke dapur, mencari kelibat ibu dan Along. Namun langkahnya terhenti ketika terdengar perbualan antara mereka di dalam bilik Along. "Ibu, Along dah tengok anak lelaki Kak Sah tu, kacak bu. Doktor lagi, lulusan luar negara." Tenang hati Balqis menutur syukur kerana Along ditemukan oleh Allah akan jodoh yang terbaik akhirnya. "Kalau menjadi dengan Balqis, bertuah kita ibu. Lagipun Kak Sah tu memang berkenan dengan perwatakan Balqis." Ya Allah, apa lagi yang difikir Along ni? Monolog hati kecil Balqis. Langkah digarap ke bilik terasa longlai.

"Balqis akui, kami tak pernah berkenalan dan berjumpa. Apa yang Balqis tahu tentang diri dia, semuanya berdasarkan cerita Ustaz dan Ustazah Balqis di kampus," akui Balqis setelah disoal bertubi-tubi oleh Baiduri. "Along dah agak. Kamu ingat kerja kahwin ni kerja main-main ke? Dahlah nak kahwin muda, nak kahwin pulak dengan orang yang kau langsung tak kenal. Apa yang meracun fikiran kau ni Balqis?" Mengikut perancangan, Balqis dan Ustaz Amirul akan bernikah gantung dahulu kerana masing-masing masih mempunyai tanggungjawab untuk menuntut ilmu. Bagi Balqis, cukuplah berita kesolehahan Ustaz Amirul Hayyan membuatkan dirinya dipilih, bukan harta dan rupa yang menjadi taruhan.  Air jernih mula mengalir, Balqis sedih kerana kurangnya kefahaman Along tentang ajaran Islam yang syumul. Hati kecil Balqis tak henti memohon agar satu hari diberi kefahaman oleh Allah untuk Along.

Baiduri Asiah berjalan keluar dari tempat kerjanya. Diseberang jalan, terlihat kelibat seorang lelaki yang cukup dia kenali. Doktor Haiqal Firdaus. Ya, tepat sekali, otaknya mengeluarkan output selepas diproses. Tapi benarkah? Diteliti sekali lagi. Sesekali dia mengosok matanya, bimbang ada sesuatu yang mengaburkan pandangannya. Benar, tetapi siapa perempuan disebelah dia? Ya Allah. Serta merta dia menelangkup kedua tangan ke muka di saat 'doktor' mencuba agedan panas bersama pasangannya.

Malam itu, selepas solat Isya', Baiduri ke bilik Balqis. Ada sesuatu yang perlu dibetulkan. Maafkan Along, Balqis. "Esok tarikh akhir kamu beri keputusan kepada keluarga Amirul kan?" Baiduri mula menyusun bicara. Balqis yang sedang melipat telekung solatnya hanya mengangguk. "Terimalah dia dik. InsyaAllah ini yang terbaik untuk kamu." Mendengar kata-kata yang meniti dibibir Baiduri, seakan anak kecil mendapatkan gula-gula Balqis meluru ke arah kakaknya dan memeluk erat. "Alhamdulillah, Allah makbulkan doa Bal. Allah buka hati dan mata Along," ujar Balqis dalam sedu tangisnya.

*********

"Balqis Aqilah," suara lembut Baiduri Asiah melenyapkan lamunan panjang Balqis. "Mari, pihak lelaki dah lama menunggu nak sarungkan cincin ke jari runcing kamu ni." Tersenyum malu Balqis diusik kakaknya.




You Might Also Like

6 bicara sahabat